Nurulfariha's Blog
Inspirasi – Aspirasi – Memori

Tuah Katak

Di Sebalik Nama: Tuah katak


SIBUK menyiapkan karyanya.

Manggis perah kreativiti lebih 13 tahun hibur peminat melalui siri Katok Oh Katok

BAYANGKAN dua ekor katak berinteraksi dan bercerita pelbagai kisah manusia dan kehidupan di dunia. Bukankah ini memberi kepelbagaian dalam konteks hiburan kartun mahupun animasi?

Inilah yang berjaya dicapai kartunis Rosli Ismail atau lebih popular dengan nama pena, Manggis. Interaksi antara dua ekor katak yang dikenali sebagai Faisal dan Bad berjaya mencuri tumpuan pembaca majalah humor, Ujang, sejak disiarkan pada 1996.

// // //

Melalui karya Manggis, Faisal dan Bad digambarkan seperti manusia dan membincangkan pelbagai isu yang berlaku dalam kehidupan manusia, walhal dua ekor katak ini berada dalam habitat sendiri.

Siri Katok Oh Katok cukup sinonim dengan Manggis. Selain siri ini, Manggis turut menghasilkan kartun manusia seperti kisah cinta remaja dan cerita kumpulan peminat motosikal Vespa.

Manggis memasang cita-cita menjadikan bidang kartunis sebagai kerjaya sejak menuntut di tingkatan tiga. Sejak di sekolah menengah lagi, beliau tidak jemu-jemu menghantar karya ke majalah humor tempatan. Apabila pertama kali karyanya tersiar di majalah Humor, semangat bergelar kartunis makin berkobar-kobar.

Namun, selepas usaha mencari tapak di beberapa majalah humor tidak berhasil, Manggis hampir berputus asa dan membuat keputusan kembali ke kampung sehinggalah ditawarkan kerja di sebuah syarikat penerbitan.

Manggis menceburi industri kartun tempatan secara serius pada 1995. Ketika itu, Manggis berkarya untuk majalah Boom dengan menggunakan nama samaran, Olie. Setahun selepas itu, Manggis bekerja dengan majalah Ujang.

Dalam mencari konsep kartun yang menjadi identitinya, kartunis Ujang mencadangkan Manggis memberi tumpuan kepada karakter haiwan berdasarkan kreativitinya menjurus ke arah itu.

Sejak dari itulah Manggis terus memantapkan karya Katok Oh Katok hingga hari ini. Kolum Di Sebalik Nama minggu ini berbicara lanjut dengan Manggis…

Bagaimana anda mendapat idea mencipta watak katak dalam siri Katok Oh Katok?

Disebabkan saya gemar memancing, inspirasi Katok Oh Katok datang dari aktiviti memancing. Katak menjadi antara umpan yang digunakan pemancing, jadi saya ambil amfibia ini sebagai watak kartun.

Dua ekor katak ini saya namakan Bad dan Faisal . Ada juga beberapa watak lain yang muncul sekali-sekala. Antaranya, ikan toman yang dinamakan Gundala. Dalam siri Katok Oh Katok ini, rencah hidup manusia dipaparkan melalui kehidupan dua ekor katak ini.

Apa topik yang sering dipaparkan dalam siri ini?

Lazimnya, saya mengetengahkan isu semasa dalam kehidupan remaja. Umpamanya, pemberontakan dalaman yang sering dialami mereka selain diselitkan nasihat ringan.

Kebanyakan individu membaca kartun untuk berhibur. Pada pemerhatian anda, apakah pembaca suka dengan karya kartun yang sarat dengan mesej berbentuk nasihat?

Daripada pengalaman saya, pembaca biasanya tidak menggemari karya yang sarat nasihat. Dulu saya pernah cuba menyelitkan nasihat secara terus-terang tetapi nampaknya, pembaca tidak berapa suka.

Sehubungan itu, saya sering mengambil pendekatan menyelitkan mesej secara berkias atau meletakkannya di penghujung sesuatu siri yang saya hasilkan.

Ini bermakna, anda perlu sedikit masa untuk menyiapkan sesuatu karya?

Secara tidak langsung, agak sukar untuk mempersembahkan idea dalam sesebuah cerita. Ini akan mengambil masa yang agak lama kerana kita terpaksa berfikir bagaimana hendak mengolahnya terlebih dulu.

Olahan ini perlu supaya pembaca dapat menerima apa yang cuba kita sampaikan.

Bagaimana agaknya penerimaan pembaca terhadap karya yang anda hasilkan?

Karakter katak yang saya tampilkan ini boleh saya katakan agak menonjol terutama pada peringkat awal diperkenalkan. Siri ini mempunyai peminatnya sendiri hingga hari ini.

Kadangkala, apabila saya bertemu pembaca di acara tertentu, ada yang datang kepada saya dan menceritakan semula siri Katok Oh Katok yang digemari mereka.

Bagi saya, karakter yang dipaparkan dalam siri ini ada impaknya. Pernah juga watak dalam siri Katok Oh Katok ini digunakan dalam pementasan teater penuntut sebuah universiti dan saya turut berpeluang menontonnya.

Apa antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjang anda berkecimpung dalam industri kartun?

Apa yang paling saya ingat sampai sekarang ialah cabaran yang ditempuhi untuk menyertai bidang ini. Pada mulanya, ibu bapa saya tidak menyokong keputusan menjadi kartunis. Ini kerana bagi mereka, kerjaya ini tidak menjamin masa depan.

Tetapi saya nekad dan pergi ke Kuala Lumpur dengan hati yang sedih. Selepas beberapa bulan bekerja sebagai kartunis, saya membeli sebuah kereta lalu saya tunjukkan kepada ibu bapa bahawa kerjaya kartunis ini tidaklah seteruk yang disangka.

Syukur, lama-kelamaan tanggapan mereka berubah dan mereka bangga dengan apa yang saya kecapi.

Pernah terfikir untuk menampilkan idea baru atau yang berbeza daripada karya sekarang?

Ada juga… Ketika ini, saya sedang mengumpul idea dan bahan menghasilkan karya yang menampilkan hobi dan minat remaja sekarang. Ini sebagai usaha menarik minat pembaca muda atau dalam kumpulan umur sebegitu.

Jika hendak diikutkan, agak mencabar jugalah kerana faktor jarak usia saya dengan mereka. Sehubungan itu, saya gunakan semua rujukan yang dapat membantu. Selain itu, saya juga bercadang menampilkan sesuatu yang baru. Ini mungkin dapat dilaksanakan mulai awal tahun depan.

Jika boleh, boleh saya hendak mewujudkan penjenamaan sendiri untuk hasil kreativiti saya itu.

Adakah anda sering berinteraksi dengan pembaca? Apa yang selalu dibincangkan?

Sekali-sekala saya berinteraksi dengan pembaca. Selalunya, kami akan mengulas mengenai karya yang sudah dipaparkan dan ada juga yang berkongsi sedikit sebanyak idea membina dengan saya.

Akhir sekali, apa yang anda mahu capai capai dalam kerjaya anda?

Seharusnya, sokongan daripada pembaca tempatan amat diharapkan. Ini penting supaya industri ini terus hidup dan lebih berkembang seperti yang kita inginkan.

// //


No Responses to “Tuah Katak”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: