Nurulfariha's Blog
Inspirasi – Aspirasi – Memori

Nur Aminah vs Nur Kasih

Realiti Tiz, bukan Nur Amina

“Saya jenis yang bertindak mengikut arus, hidup, kerja dan keputusan saya memang begitu. Jadi, bila orang kata saya lambat bergerak selepas Nur Kaseh. Saya tak ambil hati sebab sebelum ini pun, sudah empat tahun dalam industri, tiba-tiba sahaja Nur Kaseh mengangkat saya” – TIZ



Wajahnya nakal, selalu sahaja bibir nipisnya menguntum senyum, bahkan gelak tawa menjadi pengiring setia sepanjang perbualan. Dia bukan gadis tipikal seperti yang tertanam di mata semua menerusi Nur Kaseh.

“Saya memang begini,” ujar pelakon cantik, Tiz Zaqyah dengan ramah dan senyum.

Datang ke Studio Utusan, Kuala Lumpur dengan wajah sudah dirias da n persalinan ringkas berona hitam pekat, Tiz kelihatan sangat bersedia.

Bagi wanita muda kelahiran Kuala Lumpur itu, detik masa kini sudah menjadi ’emas’ yang sangat bernilai buatnya. Dia juga semakin mendewasakan diri dengan ajakan temu bual dan panggilan untuk sesi fotografi. Kata Tiz, publisiti itu penting untuk pelakon baru seperti dirinya.

Sebab itulah, semasa pertemuan dengan Tiz minggu lalu, dia sebenarnya mencuri-curi waktu sementelah pada hari yang sama dia harus berada di sebuah syarikat produksi untuk satu perbincangan dan menandatangani kontrak baru. Dalam waktu yang sama, Tiz kini sibuk di lokasi penggambaran Spa Qistina.

Tiz tidak mengejar gol

Nur Amina ibarat gol pertama Tiz Zaqyah, namun, selain Nur Kaseh yang kini masih menemui penonton menerusi episod ulang tayang, Tiz sebenarnya tiada produk lain yang ditawarkan kepada penonton. Ketika seharusnya Tiz sudah berlari di pentas lakonan, dia kelihatan masih berjalan dengan tenang. Tiada yang menghambat dan tidak mengejar garisan penamat sepantas kemahuan hati.

Berdasarkan parameter yang telah dicapai menerusi Nur Kaseh, corak perjalanan seorang pelakon seperti Tiz boleh dianggap perlahan dan lambat mencapai kelajuan selain isu gambar yang tersebar di Internet.

Menanyakan Tiz tentang situasi yang dilangkahi itu, jawapan yang terletus daripada bibir manisnya mencerminkan ke mana arah tuju Tiz dalam bidang lakonan. Dia jenis yang bukan mengejar gol sebaliknya meneliti jalan terbaik sebelum gol kedua dibolos penuh bergaya.


TIZ ZAQYAH enggan tergopoh-gapah menerima tawaran berlakon kerana mahukan watak yang terbaik untuk dirinya.


“Saya dapat rasa dan sedar situasi yang berlaku. Tapi itu semua berlaku tanpa membuatkan saya rasa bersalah atau menyesal.

“Saya jenis yang bertindak mengikut arus, hidup, kerja dan keputusan saya memang begitu. Jadi, bila orang kata saya lambat bergerak selepas Nur Kaseh. Saya tak ambil hati sebab sebelum ini pun, sudah empat tahun dalam industri, tiba-tiba sahaja Nur Kaseh mengangkat saya,” ujar Tiz tenang.

Dia sudah berlakon dalam beberapa drama seperti Gol & Gincu, Impian Ilyana, Bernafas Dalam Lumpur serta Puaka Topeng Putih.

Untuk langkah seterusnya, Tiz juga sedar dia harus memilih agar tidak tersalah percaturan. Paling tidak, skala yang telah dicapai haruslah dikekalkan.

“Itulah yang sedang saya lakukan. Ramai yang menasihati saya agar pandai mencari dan memilih ruang, kemudian buat yang terbaik. Itu tekad saya,” kata Tiz.


GADIS cantik ini memegang watak Nur Amina dalam drama bersiri Nur Kaseh.


Transisi hidup

Gara-gara menjadi popular juga, hampir 100 peratus hidup Tiz mula berubah. Pernah dilanda dengan kontroversi gambar sosial pada pertengahan 2009, Tiz tidak gentar setidak-tidaknya masyarakat kenal siapa dirinya dan dia tidak berselindung di sebalik tirai kaca.

Namun, apa yang berlaku kepada teman seperjuangan Nur Kaseh, Remy Ishak dan Ummi Nazeera baru-baru ini sedikit-sebanyak membuatkan Tiz kecut perut. Bagi diri Tiz yang pernah mengundang pandangan sinis

“Saya kembali terfikir tentang impak populariti. Ada juga rasa takut, takut perkara sebegitu terkena kepada diri sendiri. Tapi saya anggap itu semua amaran buat saya. Satu peringatan agar menjadi seorang individu yang kemas menutup rahsia dan menjaga milik eksklusif saya,” katanya ringkas.

Untuk tahun 2010, Tiz mengharapkan Spa Qistina memberikan dimensi buat dirinya. Biarpun mendapat peranan yang dilepaskan oleh Ummi Nazeera dan Nora Danish, dia tidak merasakan dirinya pilihan kedua, ketiga atau penempel ruang kosong.


SELEPAS empat tahun dalam bidang lakonan Nur Kaseh melonjakkan nama Tiz Zaqyah.


“Tak kisahlah orang nak kata saya pengganti atau apa, tapi sebenarnya, saya pernah tolak tawaran itu kerana ada komitmen lain.

“Tapi bila ditawarkan sekali lagi, saya terima kerana secara kebetulan saya percaya saya boleh memberikan sepenuh komitmen,” kata Tiz yang menemui keseronokan baru menerusi Spa Qistina.

Esok hari terakhir tahun 2009, dan sebelum kalendar 2009 berganti 2010, Tiz Zaqyah mengharapkan sirna yang singgah ke mukanya hari ini dan semalam bakal berkekalan. Semoga arus 2010 tidak menghanyutkan Tiz.

No Responses to “Nur Aminah vs Nur Kasih”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: