Nurulfariha's Blog
Inspirasi – Aspirasi – Memori

Ketagihan laman sosial maya

Ketagihan laman sosial maya



FENOMENA Facebook menyerap dengan pantas dalam masyarakat di seluruh dunia. Sejak enam tahun lalu, pelbagai peringkat lapisan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas, ahli-ahli politik dan selebriti tidak ketinggalan mengikuti arus kemajuan teknologi maklumat yang menjadi trend pada masa kini.

Individu yang tidak mengikuti perkembangan semasa dianggap ketinggalan dan membosankan. Justeru, ramai yang menyertai Facebook semata-mata tidak mahu dikatakan kolot.

Kebaikan Facebook diakui sebagai medium untuk menghubungkan masyarakat di seluruh dunia melalui komunikasi alam maya. Individu-individu yang terpisah dapat dipertemukan kembali hanya menggunakan Facebook. Pemimpin dapat berkomunikasi secara terus dengan rakyat menerusi Facebook.

Namun, seiring perkembangan positif, laman interaktif sosial Facebook turut menyumbang kepada pelbagai gejala negatif. Di Amerika Syarikat (AS), seorang wanita mati dibunuh kekasihnya kerana menukar status berkahwin kepada bujang.

Seorang pekerja wanita di London pula dipecat selepas mendedahkan keluhannya di Facebook berhubung suasana di tempat kerjanya dengan mengatakan dia membenci tugasnya.

Selain itu, seorang guru sekolah antarabangsa di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mati kerana minum racun berikutan hidup dalam ketakutan disebabkan bekas teman lelakinya telah memuatkan gambar tidak senonohnya ke dalam Facebook.


KETAGIHAN Facebook boleh mengakibatkan perubahan tingkah laku seseorang tanpa disedari.


Kebimbangan pengaruh negatif Facebook menyebabkan Majlis Ulama Indonesia mengeluarkan fatwa mengharamkan Facebook, namun tindakan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang menganggapnya sebagai tidak wajar.

“Alangkah baiknya kalau dapat berfacebook hari-hari…tapi kalau tak dapat pun tak apa.”

Pemikiran sebegini mungkin dapat membantu individu yang tidak dapat berpisah dengan Facebook walau sehari, kata Ketua Pengarah Institut Sosial Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din.

Menurut Mohamed Fadzil, individu yang ketagihan Facebook tidak menyedari masalah yang dihadapinya. Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab individu terdekat membantunya merawat ketagihan itu selepas melihat perubahan sikap, tabiat dan tingkah laku individu berkenaan.

Ketagihan Facebook

“Ketagihan boleh dikenal pasti apabila terbentuknya satu jadual atau proses pelaziman seseorang itu tidak dapat berpisah dengan sesuatu tabiat yang wujud akibat pengaruh atau pancingan.

“Manusia mudah dipengaruhi oleh faktor psikososial iaitu mengikut arus yang berlaku dan mereka percaya sekiranya mereka tidak terbabit, mereka dianggap kumpulan yang ketinggalan dan membosankan,” jelasnya yang mengganggap sistem itu sebagai tidak rasional.

FAIZAL mengaku beliau teruja apabila menerima komen daripada para peminatnya dalam Facebook.



Tambahnya, penyelesaian ketagihan Facebook boleh dilakukan menggunakan pendekatan ekstrem, kompromi mahupun psikologi.

“Ada pihak kata haramkan penggunaan Facebook. Ini kaedah ekstrem, manakala pendekatan kompromi memberi peluang kepada individu berkenaan untuk menggunakan Facebook tetapi mereka dididik supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menyalah gunakan laman sosial itu.

“Kaedah psikologi perlu bagi mengurangkan ketagihan individu yang mempunyai pemikiran tidak rasional akibat pengaruh Facebook. Di sini perlunya sokongan individu terdekat seperti keluarga, pasangan dan teman rapat,” katanya.

Kaunseling, bimbingan dan nasihat mampu membantu menyedarkan individu yang ketagihan Facebook supaya mereka tidak berterusan gagal menguruskan masa dan kehilangan kemahiran sosial akibat terikat dengan komunikasi alam maya.

Selebriti terkenal, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI, 32, mengaku ketagihan Facebook apabila dia sentiasa memikirkan pos-pos terbaru yang ingin diletakkan di dinding Facebooknya. Beliau juga rasa teruja setiap kali menerima komen daripada para peminatnya.

“Facebook membuatkan saya leka dan melekat di depan komputer selama berjam-jam tanpa sedar. Tetapi, saya menggunakan alternatif lain iaitu iPhone supaya saya dapat melaksanakan tanggungjawab tanpa membazirkan masa di depan komputer.

“Bagi saya, Facebook dapat meningkatkan komunikasi secara efisien dan tidak patut diharamkan. Tindakan mengharamkan Facebook ibarat menafikan perkembangan teknologi maklumat dan kita akan ketinggalan dalam pelbagai sudut,” katanya.

Tambah Faizal, apa yang wajar dilakukan ialah pemantauan daripada kerajaan supaya menyekat laman-laman Facebook yang mengajak masyarakat menghina atau membangkitkan isu-isu yang boleh mengakibatkan pepecahan.

MOHAMED FADZIL percaya pendekatan psikologi dapat membantu mereka yang mengalami masalah ketagihan Facebook.



Pembaca berita RTM, Norhaslina Ibrahim berpendapat, masyarakat hari ini memanfaatkan Facebook atas dasar kesibukan dan melaluinya banyak maklumat terkini diperoleh daripada teman-teman serta mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.

“Facebook penting bagi saya kerana saya tidak mempunyai masa untuk berkomunikasi dengan teman-teman rapat dan mengetahui perkembangan diri mereka. Melalui Facebook saya dapat bertemu dengan rakan-rakan sekolah yang sudah lama terpisah,” katanya.

Pelakon dan hos, Julie Woon mengatakan dia tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif yang berlaku disebabkan Facebook kerana menganggap ia tindakan individu yang mempunyai agenda tertentu.

“Saya sentiasa mengemaskini laman Facebook kerana bidang kerja yang memerlukan saya berhubung dengan teman-teman dan para peminat. Selain itu, banyak ejen mencari saya di Facebook untuk tujuan kerja kerana tidak mempunyai nombor telefon saya,” katanya

No Responses to “Ketagihan laman sosial maya”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: