Nurulfariha's Blog
Inspirasi – Aspirasi – Memori

Internet Masuk Desa

Internet masuk desa

SALAH satu penyebab kelambatan capaian Internet di luar bandar berpunca daripada keengganan syarikat pembekal Internet melabur berikutan keraguan berkaitan pulangan keuntungan diraih memandangkan permintaan mungkin terhad.

SALAH satu penyebab kelambatan capaian Internet di luar bandar berpunca daripada keengganan syarikat pembekal Internet melabur berikutan keraguan berkaitan pulangan keuntungan diraih memandangkan permintaan mungkin terhad.

Contohnya, jika kampung terbabit hanya mempunyai jumlah penduduk sebanyak 100 hingga 200 orang, syarikat telekomunikasi (telco) mungkin tidak mampu menampung kos pemasangan serta penyelenggaraan prasarana yang tinggi.

Justeru, Ericsson sebagai peneraju dalam teknologi mudah alih rangkaian 2G, 3G dan 4G, yang membekalkan sokongan kepada lebih satu bilion pelanggan, menghasilkan penyelesaian khusus untuk luar bandar.

Penyelesaian yang dianggap menghasilkan keputusan menang-menang untuk pengguna dan pengendali perkhidmatan Internet itu mampu mengurangkan jurang digital antara penduduk bandar dan desa.

Ketika ini, kebanyakan pengendali perkhidmatan Internet menumpukan kawasan bandar untuk memberikan khidmat sambungan kerana ia menghasilkan keuntungan cepat dengan jumlah penduduk yang ramai.

Selain itu, anggapan penduduk luar bandar tidak mampu melanggan perkhidmatan Internet perlu ditolak jauh memandangkan mereka perlu berkongsi kemudahan terbabit yang mampu melonjak kekuatan ekonomi di desa.

Bagi mengatasi masalah terbabit, Ericsson mensasarkan satu usahawan satu desa di setiap kawasan pedalaman di Malaysia menerusi konsep perniagaan istimewa yang dikongsi bersama telco dan pembekal perkhidmatan Internet.

Naib Presiden Strategi Pemasaran dan Pemasaran Ericsson Malaysia, Steven Tai, berkata usahawan yang dihasilkan akan berkongsi keuntungan dengan telco apabila mereka mempromosikan kemudahan Internet kepada penduduk kampung.

“Secara tidak langsung, ia akan membantu ekonomi desa dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

Steven berkata, Ericsson sebagai pembekal teknologi memperkenalkan pendekatan Desa Inovasi Mudah Alih (MIV) yang memberi penyelesaian menyeluruh kepada sistem komunikasi di kawasan luar bandar.

“Ia juga akan memastikan pembekal telekomunikasi menikmati manfaat untuk menjalankan perniagaan di kawasan kampung dalam persekitaran lebih terjamin,” katanya.

Katanya, MIV merangkumi penyelesaian sambungan rangkaian termasuk penerima tenaga solar untuk membekalkan tenaga kepada komputer di kawasan pedalaman, perkakasan penghantar isyarat jalur lebar dan Internet.

“MIV membabitkan komponen tidak berkompromi terhadap sambungan Internet, kandungannya, aplikasi dan perkakasan sambil melatih usahawan mengenai model perniagaan yang perlu dikaji,” kata Steven.

Beliau menyarankan penyelesaian menyeluruh merangkumi pembekalan tenaga stabil dan pembangunan prasarana Internet kawasan luar bandar termasuk stesen pangkalan.

Syarikat teknologi, Eltek Valere (M) Sdn Bhd menghasilkan peranti yang mampu menyerap cahaya matahari untuk menghasilkan tenaga solar bagi menghidupkan stesen pangkalan, hab rangkaian Ethernet dan modem.

Pengurus Besar Operasi Kejuruteraannya, Wan Nor Asmadi, berkata syarikatnya menghasilkan penyelesaian solar hibrid menerusi HE Solar Charger yang menyerap cahaya bagi menjana tenaga elektrik.

“Komuniti luar bandar kerap mengalami keputusan tenaga yang menjadi masalah utama untuk menghidup prasarana Internet di kampung,” katanya.

HE Solar Charger menghasilkan tenaga cukup untuk menghasilkan elektrik pada waktu siang digabungkan dengan bateri yang menyimpannya bagi kegunaan waktu malam.

“Matahari adalah sumber tenaga yang di negara beriklim khatulistiwa dan kita patut memanfaatkannya sebaik mungkin,” kata Asmadi.

Sementara itu, Pengurus Penyelesaian Akses Rangkaian Ericsson Asia Tenggara, Moorthi Ramasamy, berkata sambungan Internet di kawasan desa boleh menggunakan stesen pangkalan radio berasaskan protokol Internet (IP).

“Stesen terbabit mampu menyokong kepadatan IP dan capaian rangkaian untuk mengurangkan keupayaan yang diperlukan oleh ‘backhaul’ secara mendadak iaitu sehingga 80 peratus bagi trafik suara.

“Ini bermakna penjimatan dapat dilakukan apabila backhaul boleh digunakan untuk menghantar data yang boleh dimanfaatkan masyarakat desa,” katanya.

Moorthi berkata, stesen terbabit mampu memampatkan data menggunakan teknologi ABIS yang dijana menerusi satelit.

“Satelit akan membekalkan isyarat kepada ABIS yang memproses data dan membahagikannya secara bijak untuk rangkaian seperti GPRS, Edge, 3G dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, teknologi pintar ABIS mengelakkan ‘tragedi’ kekurangan lebar jalur dan mampu berkongsi dengan trafik suara.

“Seperti diketahui bahawa telefon bimbit adalah medium utama rakyat negara ini dan kita perlu menggunakan sebaik mungkin bagi mendapatkan capaian Internet,” katanya.

Ericsson berupaya menghasilkan sambungan jalur lebar stabil menggunakan ABIS yang memampatkan data bagi menghasilkan kapasiti terbaik untuk kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, Steven memaklumkan langkah terbabit boleh memberikan pengguna di desa mendapatkan telefon bimbit semurah RM150 untuk mengakses Internet walaupun mempunyai kapasiti lebar jalur terhad.

Arkitek Ericsson Malaysia, Wong Siew Wai, pula berpendapat masalah kandungan yang berat untuk telefon bimbit berkapasiti rendah boleh dielakkan melalui platform penghantaran perkhidmatan mudah alih (MSDP).

“MSDP menukar format laman web mengikut kesesuaian sambungan telefon bimbit pengguna,” katanya.

Menerusi kerjasama dengan pihak berkenaan, kandungan berat seperti grafik dan aplikasi boleh dikurangkan yang mempercepatkan pelayaran Internet.

Dalam pada itu, Presiden Ericsson Malaysia, Krishnakumar Guda, berkata sambungan Internet boleh dicapai menerusi telefon bimbit yang menjadi peranti utama kepada penduduk di negara ini.



No Responses to “Internet Masuk Desa”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: