Nurulfariha's Blog
Inspirasi – Aspirasi – Memori

Gulatis Disaman Lagi

Tony Eusoff, Diana Johor Saman Gulatis RM1 Juta
Tony Eusoff (kanan) dan Diana Johor berbincang dengan peguam mereka Ahmad Rizal Effande (kiri)selepas memfailkan saman terhadap syarikat tekstil Gulatis Exclusive Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

KUALA LUMPUR: Dua pelakon dan model terkenal, Tony Eusoff atau Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman,33, dan Diana Johor Zainal Abidin, 29, telah memfailkan saman berjumlah RM500,000 setiap seorang terhadap syarikat tekstil, Gulatis Exclusive Sdn Bhd.

Saman dikemukakan melalui peguambela yang mewakili kedua-dua model itu, Ahmad Rizal Effande Zainol.

Tony dan Diana memfailkan saman atas alasan syarikat tekstil terkenal itu telah menggunakan gambar mereka untuk tujuan komersil bagi mempromosi jualan gedung tersebut pada kain rentang dan iklan syarikat berkenaan tanpa kebenaran.

Mereka menganggap Gulatis telah mengakibatkan mereka kerugian dari segi peluang pekerjaan memandangkan kerjaya mereka bergantung kepada penampilan dan penggunaan wajah.

Selain itu, mereka turut menuntut gantirugi teladan (akan ditaksir semasa perbicaraan), faedah pada kadar 8 peratus setahun mengikut jumlah gantirugi RM500,000 dan gantirugi teladan bermula dari tarikh Penghakiman sehingga penyelesaian sepenuhnya, kos antara peguam dan anak guam.

“Ia ibarat orang mengguna barang dan imej kita tanpa sebarang pengetahuan dan budi bicara sedangkan kita mempunyai hak.

“Lagipun, setiap artis Malaysia mempunyai ‘harga’. Sedangkan orang biasa pun akan cuba menegakkan keadilan. Apatah lagi insiden ini telah mengurangkan peluang kami untuk mendapat tawaran daripada syarikat lain.

“Peguam kami telah menghantar notis kepada pihak Gulatis namun tiada sebarang respons,” katanya.

Pada 19 Februari 2009, Tony dan Diana melalui peguambela mereka telah menghantar notis tuntutan kepada pihak Gulatis dan menuntut bayaran gantirugi daripada syarikat itu.

Namun sehingga ke tarikh saman ini difailkan pihak Gulatis masih ingkar, cuai dan enggan untuk membayar gantirugi yang dituntut oleh Tony dan Diana.

Menurut Tony, gambar mereka berdua yang memakai pakaian pengantin itu disalahgunakan selama lebih setahun lalu selepas mereka menerima makluman daripada rakan-rakan bahawa gambar mereka telah dipamerkan dihadapan premis perniagaan di 162 & 164, Tingkat 2, Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur pada 24 September 2008.

Sementara itu, Diana yang dikenali menerusi drama Sembilu dan filem Sembilu 2005 menambah, “Bukan kedai di Jalan TAR sahaja, saya juga mendapat tahu gambar kami telah digunakan oleh Gulatis di Johor Bharu.”

Dalam pada itu, peguam Rizal berkata tuntutan yang dibuat terhadap pihak Gulatis adalah memadai setelah mereka mempertimbangkan tempoh masa dan reputasi anak guamnya sebagai pelakon dan model yang dikenali umum.

Sebelum ini, Gulatis juga pernah disaman oleh dua selebriti terkenal iaitu Zahnita Dorothy Hussein Wilson dan Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja.

Eja telah mendapat RM20,000 berhubung saman ganti rugi yang dituntut olehnya terhadap Gulatis atas dakwaan melanggar perjanjian.

Sementara Zahnita menfailkan saman pada Disember lalu yang menuduh Gulatis menggunakan gambarnya di poster dan iklan syarikat itu tanpa kebenarannya dan mendakwa dia telah mengalami kerugian besar ekoran pembatalan usahasamanya dengan syarikat tekstil yang lain kerana perkara itu.

No Responses to “Gulatis Disaman Lagi”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: