Nurulfariha's Blog
Inspirasi – Aspirasi – Memori

Destinasi Paling Basah

Destinasi paling basah

BUKIT Larut seperti stesen bukit lain pada zaman pramerdeka menjadi tumpuan warga British yang mahu lari dari cuaca panas tropika di Tanah Melayu.

BUKIT Larut seperti stesen bukit lain pada zaman pramerdeka menjadi tumpuan warga British yang mahu lari dari cuaca panas tropika di Tanah Melayu.

Sesuai dengan status sebagai destinasi percutian tanah tinggi tertua, ia menjadi tumpuan kerana cuaca sejuk pergunungan selain kawasan hujan tahunan tertinggi di Malaysia.

Selepas pertama kali diterokai Residen British, George Maxwell pada 1880, ia menerima kunjungan pelancong yang mahu meneroka suasana percutian damai dikelilingi kehijauan alam semula jadi.

Hidupan liar yang masih mendiami kawasan Larut turut menjadi tumpuan pelancong.

Beberapa bangunan dengan gaya kolonial berdiri kukuh sebagai saksi sejarah pembangunan lombong bijih timah. Berek rumah papan pekerja ladang teh yang pernah dijadikan hospital ketika Perang Dunia Kedua masih ada lagi.

Malah, kediaman Residen British pertama, JWW Birch, The Cottage di puncak Bukit Larut setinggi 1,376 meter (m) dari aras laut, masih wujud.

Bagaimanapun, banglo yang dibina pada 1884 itu tidak dibuka untuk orang ramai kerana terletak di kawasan stesen pemancar syarikat telekomunikasi.

Menyedari keunikan Bukit Larut, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia menganjurkan ekspedisi merentasi denai ke puncak Bukit Larut menggunakan laluan dari Kampung Anak Kurau, mukim Batu Kurau.

Ekspedisi dua hari dengan jarak perjalanan sejauh kira-kira 13 kilometer (km) itu dimulakan pada pada pagi 24 Oktober lalu di titik pelepasan di Sungai Bubu, Kampung Anak Kurau pada ketinggian 100 m dari aras laut.

Namun, sebelum tiba di Sungai Bubu, peserta perlu berjalan sejauh tiga km melalui kawasan kampung, dusun durian, ladang getah serta kawasan padang ragut.

Penyelaras Program, Hanim Ramly, berkata 10 stesen dikenal pasti sebagai ‘check point’ di sepanjang perjalanan. Seramai 69 peserta bermalam di Stesen 5 dikenali Stesen Bukit Pelita terletak pada ketinggian 986 m dari aras laut.

“Berbanding laluan biasa ke Bukit Larut, peserta yang merentasi denai hutan dapat menyaksikan pelbagai jenis flora dan fauna, berdepan dengan halangan anak sungai jernih dan turut melewati kawasan gua. Kelebihan ini hanya akan dapat dialami apabila menempuh perjalanan dalam hutan.

“Paling menarik, peserta melihat beberapa terowong tanah yang ditebuk oleh pencari bijih timah pada suatu masa dulu. Lubang terowong bersaiz kecil hanya boleh memuatkan seorang lelaki dewasa itu masih kekal sehingga kini dan masih dalam keadaan baik walaupun lama ditinggalkan,” katanya.

Menurut penduduk setempat, terowong itu menjadi bukti kepada kegigihan penduduk kampung yang pernah bergantung hidup kepada kerja mencari ’emas hitam’ secara tradisional ketika ia menjadi komoditi utama dunia satu ketika dulu.

Lubang kecil itu pernah menjadi kubur kepada pekerja yang terkambus selepas terperangkap sewaktu kerja menggali.

Selepas meredah pelbagai halangan, peserta melalui check point tertinggi di Stesen 7 pada ketinggian 1,267 m dari aras laut sebelum menamat pendakian di banglo The Box, Bukit Larut.

Selepas berehat seketika, semua peserta dibawa turun ke kaki Bukit Larut dengan menaiki Land Rover Pejabat Bukit Larut, Pejabat Daerah Larut Matang.

>Info BUKIT LARUT

> Jika cuaca tidak berkabus, keindahan bandar Taiping hingga ke kawasan pesisiran laut Kuala Sepetang termasuk kawasan Taman Tema Air Bukit Merah boleh dilihat dari atas bukit itu dengan jelas.

> Lebih menarik pada waktu malam kerana limpahan lampu di seluruh Taiping serta kerlipan lampu bot nelayan di laut Selat Melaka mampu menjadi santapan jiwa sebelum melelapkan mata.

> Bukit Larut adalah kawasan yang paling lembap di Malaysia. Hampir setiap hari pada waktu petang, hujan melanda bukit di kawasan ini. Suhu siangnya antara 15 dan 25 darjah selsius dan boleh mencecah 10 darjah selsius pada waktu malam.

> Sebelum jalan tar dibina pada 1948, British menggunakan kuda padi dan kerusi pengusung sebagai pengangkutan untuk ke puncak bukit.

BANGUNAN WARISAN

> Tea Garden dibina pada 1887 dengan kos RM3,600 untuk kegunaan pegawai British. Pada asalnya kawasan ini terdapat ladang teh jenis Assam, kemudian dipindahkan ke Cameron Highlands.

> Rumah Rehat Bukit Larut terletak 1,034 meter di atas paras laut dan 10.1 km dari kaki Bukit Larut dengan keluasan kawasan 1.2 hektar.

> Banglo Beringin asalnya dikenali sebagai Rumah Rehat Watson. Luas kawasannya 1.2 hektar dan berada pada ketinggian 1,036 m atas paras laut dengan jarak 10.2 km dari kaki Bukti Larut.

> Banglo Angkasa dibina pada 1906 dan dikenali sebagai ‘The Federal Bungalows.’ Banglo ini disewakan khas untuk golongan kenamaan atau VIP saja.

> Banglo Cendana dikenali sebagai The Hut yang dibina pada 1889 dengan kos RM 2,000. Banglo Tempinis asalnya dikenali sebagai Banglo Treacher. Sejarah pembinaan dan tujuannya tidak diketahui.

> Sri Kayangan dikenali sebagai The Box yang juga rumah kediaman rasmi Residen Perak. Kawasan ini mempunyai ketinggian 1,242 m dari paras laut dengan jarak 11.7 km dari kaki Bukit Larut.

> Rumah Rehat Gunung Hijau asalnya dikenali sebagai The Speedy Resthouse dan terletak pada ketinggian 1,113 m dari paras laut.

No Responses to “Destinasi Paling Basah”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: